07 September, 2010

Hati-hat Dengan Penggunaan Kasut Jenama CROCS

Salam peringatan dari ana untuk diri dan antum semua. Artikel yang ana dapat dari email seorang sahabiah.


"Kasut crocs yang menjadi trend di Malaysia kini
kerana ianya mudah dipakai dan selesa.
Di mana-mana orang menjual kasut crocs ni,
di pasaraya, di pasar malam malah di tepi-tepi jalan.
Ada jer canopy segera dipasang untuk menjual
kasut crocs.



Kalau dah di pasar malam tu terang-teranglah ia

adalah kasut crocs tiruan. Berhati-hati membeli kasut crocs

tiruan ini kerana saya mendapat email berkenaan

lambang crocs tiruan ini yang ada iras-iras kalimah Allah.

Mungkin orang kata saya ni terlalu sensitif, takpelah bab-bab

agama ni kita memang perlu sensitif terutama ianya akan dijadikan

alas kaki.


Ini adalah logo crocs yang ori..



Ini pula logo crocs yang dimaksudkan

kasut crocs

Membina Generasi Yang Bersabar..


Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam. Rasulullah saw ada bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

“Puasa itu sebahagian daripada sabar”

Sabda Nabi saw. lagi:

“Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah masuk syurga.”
Sabar juga adalah sebahagian daripada iman sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis

“Sabar itu sebahagian daripada iman”

Sabar adalah inti ajaran Islam dan iman. Bersabar ertinya mengendalikan dan memaksa nafsu untuk melaksanakan ketentuan syariat. Sabar adalah saudara dari syukur, kerana syukur tidak akan sempurna tanpa kesabaran. Barangsiapa yang bersabar, maka ia telah bersyukur atas nikmat Allah swt. yang dikurniakan kepadanya.
Kesabaran memiliki pelbagai keutamaan dan manfaat. Allah swt. berfirman dalam surat Az-Zumar:10

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan dibalas dengan pahala tanpa batas.”
Dalam Surat An-Nahl: 96, Allah swt. berfirman:

وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan kami pasti akan memberikan balasan kepada mereka yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”

Rasulullah SAW bersabda:

الإيمان هوَ الصَّبْرُ وَ السَّمَاحَةُ

“Iman adalah kesabaran dan suka memaafkan.”

Firman Allah swt. lagi:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”. (Al-Kahfi: 28)

Ramadhan adalah waktu paling tepat untuk melatih kesabaran kerana di bulan ini kita diwajibkan berpuasa dan ibadah puasa adalah separuh dari pada kesabaran. Sabar menahan makan dan minum, sabar untuk menahan nafsu syahwat (hubungan suami isteri di siang hari), sabar untuk menahan amarah dan angkara murka, sabar untuk menahan jiwa dan raga dari melakukan tindakan yang dapat mengurangi nilai-nilai dan pahala puasa, bersabar untuk bangun malam, untuk qiyamulail, untuk bersahur dan lain-lainnya.

Rasulullah SAW bersabda:

اَلصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ وَ لِكُلِّ شَيْئٍ زَكَاةٌ , وَ زَكَاةٌ اْلجَسَدِ الصَّوْمُ

“Puasa itu setengah dari kesabaran. Bagi tiap-tiap perkara ada zakatnya dan zakatnya badan ialah puasa.”

Dari Abu Hurairah ra beliau berkata: Rasulullah saw pernah bersabda, “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Semua amal anak Adam adalah baginya kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Puasa adalah perisai, apabila kamu sedang puasa janganlah berkata keji(memaki), janganlah berteriak-teriak dan janganlah berbuat perkara yang bodoh. Apabila ada seseorang yang mencacinya atau memeranginya maka katakanlah ‘Sesungguhnya aku sedang puasa… .” [Bukhari dan Muslim]

Puasa Ramadhan merupakan media yang sangat efektif untuk melatih kesabaran. Betapa manusia beriman selama satu bulan penuh dilatih untuk sabar serta mampu menahan diri, tidak melakukan hal-hal yang menjejaskan pahala puasanya. Justeru kemuncak pasca ramadhan adalah dibebaskan dari api neraka dan terbinanya muslim yang lebih kuat dan bersih, generasi bertaqwa.
Oleh itu disepanjang Ramadhan ini mari kita tumbuh mekarkan sabar dalam jiwa kita, kita pupuk kesabaran agar kita mampu menghadapi cabaran kehidupan hari ini dan hari esok dengan jiwa mukmin yang penuh dengan kesabaran agar kita mampu melaksanakan perintah Allah swt. baik dalam suka mahupun duka, dimana saja kita berada, serta mampu menjauhi maksiat atau larangan-Nya sehingga kita menjadi muslim muttaqin

Biarlan AlQuran Menyentuh Jiwamu...


Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian. Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu. Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku. Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum. Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

Pecutan Terakhir Meraih Taqwa..

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dipanjangkan umur dan diberi kesempatan kepada kita untuk terus ber’ubudiyah kepada Allah, khasnya di bulan Ramadhan yang kini telah masuk ke bahagian akhir bagi tahun ini.

Marilah kita terus berdo’a agar kita mendapat rahmat Allah, keampunan serta dibebaskan daripada azab di Hari Akhirat nanti. Di sepanjang Ramadhan, Rasulullah s.a.w banyak berdo’a di samping ibadah dan amal kebaikan yang ditingkatkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya berdo’a ketika berbuka puasa kerana do’a ketika itu tidak ditolak .

Maksudnya: “Abdullah Ibn Amru bin al ‘As berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika ia berbuka puasa terdapat do’a yang tidak ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah.)

Ibn Majah juga meriwayatkan hadis daripada Abi Hurairah RA katanya (Abu Hurairah berkata) :

Maksudnya: “Terdapat tiga (3) do’a yang tidak ditolak (bahkan dimakbulkan oleh Allah) iaitu do’a imam yang adil, do’a orang yang berpuasa sehingga ia berbuka puasa dan do’a orang yang dizalimi.....”

Allah SWT memberi jaminan bahawa Allah sentiasa hampir kepada hamba-hambaNya. Firman Allah di dalam ayat 186 Surah al Baqarah:

Maksudnya: “Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Rasulullah s.a.w) tentang Aku (Allah), maka beritahulah bahawa Aku sentiasa hampir dengan mereka. Aku perkenankan do’a orang-orang yang berdo’a. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (patuh kepada perintahKu) serta hendaklah mereka teguh beriman kepadaKu semoga mereka mendapat pertunjuk (ke Jalan yang betul).“

Walaupun Ramadhan sudah hampir meninggalkan kita, tetapi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT amat sayang dan merasa sedih untuk berpisah dengan bulan yang penuh berkah ini. Abu Mas’ud al Ghifari RA pernah menyebut hadis Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa-apa (kelebihan) di dalam bulan Ramadhan, nescaya hamba-hamba Allah ini bercita-cita agar bulan Ramadhan berlaku (berterusan) sepanjang tahun.“

Tetapi realitinya, majoriti masyarakat kini seolah-olah ingin segera keluar daripada Ramadhan dengan mengembar-gemburkan program-program Hari Raya yang sudah tersedia di kaca TV dan media massa. Dan lebih gamat lagi apabila dipestakan dengan pembakaran mercun, meriam buluh dan sebagainya sehingga menenggelamkan suasana ibadah kepada Allah, lebih-lebih lagi dibahagian akhir Ramadhan yang diberkati ini. Sedangkan sepatutnya dibahagian akhir Ramadhan inilah perlu kita lipatgandakan amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Baginda Rasulullah s.a.w melipatgandakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT khusus dibahagian sepuluh hari yang akhir daripada bulan Ramadhan: tumpuan khusus kepada menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan istighfar, zikrullah, tilawah al Quran, solah dan do’a serta i’tikaf sehingga Baginda Rasulullah s.a.w mengejutkan ahli-ahli keluarganya sama-sama bangun menghidupkan malam Ramadhan.

Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila menjelang sepuluh hari yang akhir daripada Bulan Ramadhan, maka Baginda s.a.w menghidupkan malam-malam hari Ramadhan itu (dengan ibadah) dan mengejutkan ahli keluarganya (bangun beribadah) kepada Allah SWT. Dan Baginda s.a.w mengikat kukuh مئزر nya (ini adalah kata-kata sindiran bahawa Nabi s.a.w tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan jimak) di dalam lingkungan masa tersebut.”

Bagi kita selaku umat Nabi Muhammad s.a.w, sewajarnya bercontoh kepada Sunnah Rasulullah s.a.w kerana di bahagian akhir Ramadhan ini terdapat satu malam yang dikenali sebagai lailatul qadar yang sangat besar kelebihan dan fadhilatnya: satu malamnya ini melebihi seribu bulan.

Sesiapa yang Allah SWT pertemukan dengannya ketika beribadah pada malam itu maka itu adalah kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan sungguh-sungguh melaksanakan ‘ubudiyah kepada Allah dengan penuh ketaatan. Namun, Rasulullah s.a.w memberi rangsangan dan mengesa orang-orang yang beriman, menuntut dan mencarinya dengan qasad dan niat mentaati Allah dan beribadah kepadaNya semata-mata.

Abu Said al Khudri RA, juga Abu Dzar RA pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: “Carilah malam tersebut pada bahagian sepuluh yang akhir daripada Bulan Ramadhan pada setiap (malam) ganjil.” (Muttafaq ‘alaih)

Menurut Fadhilah as Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya Hakikat Puasa menjelaskan; oleh kerana penentuan malam ganjil kemungkinan tidak tepat kerana bergantung kepada kepastian awal bulan dan akhir bulan, maka sewajarnya sepuluh malam yang akhir daripada Ramadhan itu dilipatgandakan ‘ubudiyah kepada Allah pada seluruh malam tersebut.

Demikianlah Ramadhan yang sewajarnya diberi perhatian dan penekanan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w. Ramadhan yang disifatkan sebagai Madrasah Tarbiyyah (pusat didikan) bagi mengawal hawa nafsu, membentuk diri, menyucikan ruh serta memperteguhkan keimanan dan menambahkan bekalan dalam rangka meneruskan kerja-kerja Islam dengan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

Professor Muhammad Qutb di dalam kitabnya Manhaj Tarbiyyah Al Islamiyyah pernah membuat bandingan dan perumpamaan antaranya bahawa ibadah khusus di dalam Islam (seperti puasa, zakat, haji dan perkara-perkara yang berkaitan ibarat stesyen bagi orang-orang musafir berhenti mengambil bekalan untuk meneruskan perjalanan yang jauh. Tiada perjalanan yang lebih jauh lagi melainkan perjalanan untuk balik ke alam akhirat, yang tidak diketahui hujungnya. Maka sudah pastilah memerlukan bekalan secukupnya. Ingatlah bahawa sebaik-baik bekalan ialah taqwa.

Oleh itu janganlah sekali-kali dibiarkan diri kita dibawa arus keinginan dan kecenderungan masyarakat sehingga perkara-perkara ibadah itu bertukar menjadi adat dan tradisi serta budaya tanpa merujuk kepada ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kepelbagaian ibadah di dalam bulan Ramadhan bukan mengikut hawa nafsu. Tetapi ianya berdasarkan ajaran Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap sesuatu itu ada petunjuk serta hukumnya. Ada yang wajib, ada yang sunat, ada yang harus dan terdapat juga perkara-perkara yang diharamkan dan dimakruhkan.

Adalah amat dibimbangkan nanti amalan ibadah yang dilakukan itu hanya sia-sia sahaja seperti yang pernah disuarakan oleh Rasulullah s.a.w :

Maksudnya: “Berapa ramai orang yang berpuasa tidak ada apa yang dia dapat kecuali lapar dan berapa ramai orang yang bangun malam (solat), tidak ada apa yang dia dapat kecuali berjaga malam semata-mata (Riwayat An Nasa’ir, Ibnu majah dan Hakim)

Oleh itu sama-samalah kita menginsafi peringatan Rasulullah s.a.w itu semoga puasa, solat, tarawih, witir , tilawatul Quran , zikir dan do’a kita diterima oleh Allah SWT dan benar-benar menjadi bekalan yang menambah kekuatan khasnya kekuatan keimanan dan ketaqwaan. Bahkan amal ibadah itu ada hubungan dengan kerja-kerja jihad dan pengorbanan di jalan Allah.

Kerana itu ditakdirkan Allah SWT, Peperangan Badar Al Kubra telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 hijrah. Pembukaan Makkah telah berlaku pada 10 Ramadhan Tahun 8 Hijrah, Peperangan Tabuk juga berlaku dalam bulan Ramadhan Tahun 9 Hijrah, Islam mula masuk ke Negeri Yaman juga dalam bulan Ramadhan Tahun Sepuluh Hijrah seperti yang terdapat di dalam Sejarah Islam, yang memperlihatkan bahawa amal ibadah di dalam Islam adalah bekalan yang menjana tenaga kerja, tenaga amal dan tenaga jihad di jalan Allah SWT.

Al Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Abi Dzar RA, katanya: "Aku telah bertanya, Wahai Rasulullah ! manakah amalan yang lebih utama? Maka Rasulullah s.a.w menjawab iaitu beriman kepada Allah dan berjihad pada JalanNya (Jalan Allah).“

Di dalam realiti masyarakat sekarang, jihad yang lebih utama untuk kita laksanakan ialah jihad dakwah dan jihad tarbiyyah seperti yang pernah dijelaskan oleh al Ustaz Muhammad Syadid di dalam kitabnya Jihad Di Dalam Islam; dakwah dan tarbiyah (didikan) adalah jihad awal yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w berdakwah mengajak kepada deen Allah dan diikuti dengan mendidik mereka yang menerima dakwah itu dengan wahyu Allah SWT sehingga lahir pendokong Islam yang benar-benar beriman dan berpadu tenaga bersama Rasulullah s.a.w melaksanakan tuntutan Islam dengan penuh komitmen dan taat. Mereka disifatkan “ahli Ibadah pada waktu malam dan pahlawan di siang hari”

Kita berdo’a semoga kita juga dikurniakan sifat-sifat demikian oleh Allah SWT melalui madrasah Ramadhan dan kepelbagaian ibadah di bulan yang mulia ini.

Tarbiah Ramadhan: Bebaskah KITA DARI API NERAKA????

Allah SWT telah menentukan bahawa puasa, malah seluruh aktiviti yang Allah sediakan untuk kita dalam bulan Ramadhan adalah untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Kini Ramadhan telah melabuhkan tirai. Bagaimana keadaan kita? Masih dalam pendakian menuju taqwa atau hari-hari menempuh Syawal yang berlalu begitu saja. Kita melalui tarbiah Ramadhan adalah untuk meningkatkan keyakinan kita kepada janji dan ancaman Allah SWT.

Saudara/saudari, putera/puteri yang dikasihi,
Marilah kita menerung dengan mata hati kita apa yang ditulis oleh Syeikh Umar Sulaiman Asqar mengenai syurga dan neraka. Apabila saya membaca hadith yang dikemukakan oleh Ibn Hajar ini hati saya sangat bimbang akan masa depan saya, anak-anak saya dan anak-anak didik saya kerana suasana kita tidak membawa kita kepada keyakinan yang kukuh kepada Hari Akhirat.

Jibril A.S telah mengungkap dua perkara untuk kita renungi.
“Demi kebesaran-Mu Ya Allah, saya khuatiri kalau tidak ada seorangpun yang sudi memasuki syurga”

Ini adalah kerana apabila Allah SWT memagari syurga dengan segala sesuatu yang sangat tidak menyenangkan, khususnya tidak disukai malah dibenci oleh nafsu.

Jibril A.S juga berkata: “Wahai Rabbul Alamin, Tuhan Pencipta alam raya sesungguhnya, saya takut jika tidak ada seorangpun, yang selamat dari api neraka.”

Ini adalah disebabkan Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya dengan menghiasi neraka dengan segala suatu yang sangat disukai dan dihajati oleh nafsu.

Jika kita merenung kehidupan kita hari ini kita dapati segala-gala yang ada di keliling kita menarik kita kepada mendurhakai Allah SWT dan menyebabkan kita dihumbankan ke dalam neraka. Semoga Allah SWT memelihara kita dari azab yang pedih ini.

Sayyid Qutb dalam telah menulis dalam menafsirkan ayat 185, Surah Ali Imran:
“Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung”

“Kata-kata ‘dijauhkan’ (zuhzih) itu sendiri menggambarkan pengertiannya melalui bunyinya. Ia melukiskan gambaran pengertiannya dengan bayangan-bayangannya seolah-olah Neraka itu mempunyai daya tarikan yang menarik sesiapa sahaja yang mendekatinya atau memasuki ruang tarikannya dan seseorang yang berada di situ memerlukan adanya orang lain yang dapat menolong menjauhkannya dari ruang tarikan itu sedikit demi sedikit untuk menyelamatkannya dari terus ditarik ke dalam Neraka. Oleh itu sesiapa yang dapat dijauhkan dari ruang tarikannya dan diselamatkan dari daya tarikannya dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang berjaya”.

Ramadhan adalah bantuan Allah SWT untuk melepaskan kita dari daya-daya tarikan yang mengheretkan ke kehidupan dunia yang akan mengakibatkan kita akan dicampakkan ke dalam Neraka dan di masa yang sama aktiviti-aktiviti ketaatan akan meningkatkan kualiti iman dan taqwa kita untuk dekat dengan kasih dan redha Allah SWT.

Ya Allah, ampunilah kami. Lepaskanlah kami dari daya-daya tarikan nafsu syahwah yang akan mengheret kami ke Neraka-Mu. Selamatkan kami dari azab yang pedih. Ya Allah kuatkanlah kami. Mampukan kami untuk melakukan sebaik-baiknya amalan-amalan yang Engkau syariatkan di sepanjang Ramadhan untuk mendekatkan kami kepada kasih dan redha-Mu.

_____________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...