07 September, 2010

Tarbiah Ramadhan: Bebaskah KITA DARI API NERAKA????

Allah SWT telah menentukan bahawa puasa, malah seluruh aktiviti yang Allah sediakan untuk kita dalam bulan Ramadhan adalah untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Kini Ramadhan telah melabuhkan tirai. Bagaimana keadaan kita? Masih dalam pendakian menuju taqwa atau hari-hari menempuh Syawal yang berlalu begitu saja. Kita melalui tarbiah Ramadhan adalah untuk meningkatkan keyakinan kita kepada janji dan ancaman Allah SWT.

Saudara/saudari, putera/puteri yang dikasihi,
Marilah kita menerung dengan mata hati kita apa yang ditulis oleh Syeikh Umar Sulaiman Asqar mengenai syurga dan neraka. Apabila saya membaca hadith yang dikemukakan oleh Ibn Hajar ini hati saya sangat bimbang akan masa depan saya, anak-anak saya dan anak-anak didik saya kerana suasana kita tidak membawa kita kepada keyakinan yang kukuh kepada Hari Akhirat.

Jibril A.S telah mengungkap dua perkara untuk kita renungi.
“Demi kebesaran-Mu Ya Allah, saya khuatiri kalau tidak ada seorangpun yang sudi memasuki syurga”

Ini adalah kerana apabila Allah SWT memagari syurga dengan segala sesuatu yang sangat tidak menyenangkan, khususnya tidak disukai malah dibenci oleh nafsu.

Jibril A.S juga berkata: “Wahai Rabbul Alamin, Tuhan Pencipta alam raya sesungguhnya, saya takut jika tidak ada seorangpun, yang selamat dari api neraka.”

Ini adalah disebabkan Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya dengan menghiasi neraka dengan segala suatu yang sangat disukai dan dihajati oleh nafsu.

Jika kita merenung kehidupan kita hari ini kita dapati segala-gala yang ada di keliling kita menarik kita kepada mendurhakai Allah SWT dan menyebabkan kita dihumbankan ke dalam neraka. Semoga Allah SWT memelihara kita dari azab yang pedih ini.

Sayyid Qutb dalam telah menulis dalam menafsirkan ayat 185, Surah Ali Imran:
“Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung”

“Kata-kata ‘dijauhkan’ (zuhzih) itu sendiri menggambarkan pengertiannya melalui bunyinya. Ia melukiskan gambaran pengertiannya dengan bayangan-bayangannya seolah-olah Neraka itu mempunyai daya tarikan yang menarik sesiapa sahaja yang mendekatinya atau memasuki ruang tarikannya dan seseorang yang berada di situ memerlukan adanya orang lain yang dapat menolong menjauhkannya dari ruang tarikan itu sedikit demi sedikit untuk menyelamatkannya dari terus ditarik ke dalam Neraka. Oleh itu sesiapa yang dapat dijauhkan dari ruang tarikannya dan diselamatkan dari daya tarikannya dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang berjaya”.

Ramadhan adalah bantuan Allah SWT untuk melepaskan kita dari daya-daya tarikan yang mengheretkan ke kehidupan dunia yang akan mengakibatkan kita akan dicampakkan ke dalam Neraka dan di masa yang sama aktiviti-aktiviti ketaatan akan meningkatkan kualiti iman dan taqwa kita untuk dekat dengan kasih dan redha Allah SWT.

Ya Allah, ampunilah kami. Lepaskanlah kami dari daya-daya tarikan nafsu syahwah yang akan mengheret kami ke Neraka-Mu. Selamatkan kami dari azab yang pedih. Ya Allah kuatkanlah kami. Mampukan kami untuk melakukan sebaik-baiknya amalan-amalan yang Engkau syariatkan di sepanjang Ramadhan untuk mendekatkan kami kepada kasih dan redha-Mu.

_____________

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...